10 penguat kuasa program pemutihan warga asing ditahan SPRM

Tarikh: 13/11/2025
img

KUALA LUMPUR: Seramai 10 penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit rasuah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Seorang pesara kerajaan turut ditahan agensi itu dalam operasi khas yang digelar Ops Bleach di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Semua suspek terdiri tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan itu oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan SPRM.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi BH, mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

"Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok pagi bagi permohonan reman," katanya.

Sementara itu, BH difahamkan, suspek yang ditahan terbabit rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi RTK.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.

"Ops Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Ops Rentas dan Ops Dygo yang dijalankan baru-baru ini," katanya.

Kata sumber, susulan tangkapan itu juga, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal.

Dalam Ops Rentas baru-baru ini, sekurang-kurangnya 31 individu diberkas, termasuk 19 pegawai penguat kuasa yang bertugas di Terminal 1 serta Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ops Dygo pula membabitkan sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen, disyaki mengumpul kekayaan dengan memainkan peranan penting dalam kegiatan sindiket counter setting yang melepaskan warga asing memasuki negara tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Pasangan itu didakwa bukan saja membeli barangan kemas daripada hasil kegiatan itu, malah mampu membuka sebuah kedai emas dengan simpanan emas mencecah nilai RM1.4 juta.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel