126 mahasiswa jayakan Program Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah

Tarikh: 02/07/2024
img

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan Program Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR).

Penganjuran program itu bertujuan memberi pengetahuan dan pendidikan secara meluas kepada pemimpin mahasiswa mengenai tanggungjawab memerangi serta membanteras rasuah di negara ini.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, berkata pemimpin pelajar berkenaan perlu didekati serta dipupuk dengan nilai murni dan asas pendidikan antirasuah dalam usaha memastikan ketelusan serta integriti dapat disemat dalam hati mereka ketika masih belajar.

Berikutan itu, beliau berharap inisiatif YBR itu dapat memberi pendedahan awal kepada mahasiswa untuk mengamalkan budaya kerja yang baik, bebas rasuah, meningkatkan disiplin dan integriti, serta sikap bertanggungjawab ketika menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Usaha ini diharap menjadi pemangkin melahirkan generasi penggerak bagi aktiviti pendidikan antirasuah.

"Matlamat program ini juga bertujuan melahirkan pelajar yang mampu menggerakkan kesedaran supaya menjadi masyarakat yang peka dan prihatin terhadap inisiatif pencegahan rasuah serta membudayakan perkara yang betul dalam kehidupan," katanya dalam kenyataan.

Seramai 126 mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menyertai program AMAR.

Program yang menghimpunkan Presiden dan Timbalan Presiden AMAR dalam kalangan mahasiswa itu dilaksanakan selama tiga hari, bagi mendedahkan bahaya rasuah serta bencana yang akan menimpa negara sekiranya ia tidak dibendung.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong.

Sementara itu, Nazli mengucapkan terima kasih kepada pihak YBR kerana menaja program kesedaran berkenaan sebagai pendedahan mengenai bahaya rasuah serta kesan rasuah kepada diri dan organisasi.

"Kesedaran ini perlu dipupuk dari peringkat IPTA dan IPTS lagi supaya negara tidak tandus modal insan berintegriti serta bersifat antirasuah pada masa hadapan.

"Saya berharap program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang serta menjadi acara tahunan.

"Ia sekali gus menjadi kempen pencegahan rasuah yang lebih sistematik, bersepadu dan berterusan dalam kalangan mahasiswa yang bakal memegang jawatan sebagai pegawai dalam sektor awam mahupun swasta," katanya.


Sumber : Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel