Kuala Lumpur: Siasatan terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL) membabitkan tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4.07 bilion adalah telus, adil dan profesional tanpa campur tangan pihak lain.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, siasatan berdasarkan aduan yang diterima membabitkan beberapa dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Selain itu, katanya, siasatan juga berdasarkan maklumat menerusi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang baharu diterima pada Ogos baru-baru ini, selain Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Hasil dua laporan ini mendedahkan terdapat beberapa kelemahan antaranya seperti aspek capaian liputan jalur lebar yang rendah, kelemahan teknologi infrastuktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar yang tidak menyeluruh.
"Terdapat juga maklumat awam serta aduan daripada pihak tertentu mengenai projek itu yang gagal memberi capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki dalam membantu proses pembelajaran di sekolah yang lebih efisen," kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, SPRM berkata, berdasarkan maklumat diterima tender perkhidmatan 1BestariNet pada asalnya dirancangkan untuk tempoh 15 tahun membabitkan jumlah RM4.07 bilion, namun dipendekkan kepada 7 tahun 6 bulan tanpa ada pengurangan nilai kontrak.
Walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak mencapai matlamat, katanya, difahamkan masih ada beberapa tuntutan dibuat syarikat berkenaan kepada pihak kementerian yang memerlukan siasatan terperinci bagi mengesahkan perkara itu.
Menurut SPRM, siasatan mendapati kerajaan perlu menanggung RM176 juta yang dituntut oleh syarikat berkenaan namun maklumat tuntutan belum dapat disahkan oleh kerajaan selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh lima tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta.
"Justeru itu, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat selepas projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019 kerana menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu, khususnya membabitkan peruntukkan dana kerajaan untuk pembangunan negara," katanya.
Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu terbabit kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi.
Sumber: Harian Metro