1MDB: Kerjasama erat SPRM, FBI bantu peroleh kembali dana RM90 juta

Tarikh: 24/01/2025
img

KUALA LUMPUR: Kerjasama erat antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berjaya mengembalikan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak AS$20 juta (bersamaan lebih RM90 juta).

SPRM dalam satu kenyataan berkata dana itu daripada seorang ahli perniagaan, Frank White Jr dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable).

Katanya, ahli perniagaan itu secara sukarela bersetuju menyerahkan wang berkenaan kepada DOJ selepas mendapati dana diterima oleh DuSable itu berasal daripada sumber dikaitkan dengan 1MDB serta disalahgunakan walaupun tidak menyedari sumber itu ketika menerimanya.

"SPRM dan Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB. Sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan kerajaan" katanya hari ini.

SPRM memaklumkan jumlah keseluruhan RM29.73 bilion yang ada ketika ini tidak termasuk AS$20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini.

Dalam masa sama, ia memaklumkan pihaknya sedang giat mendapatkan aset diselewengkan dari beberapa negara lain seperti Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan negara di Eropah.

"Usaha ini akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa dalam memastikan aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.


MACC FM
My Anti-Corruption Channel