New York: Bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner melaporkan diri ke penjara persekutuan untuk memulakan hukuman penjara dua tahun atas salah satu penipuan kewangan terbesar dalam sejarah.
Memetik The Edge, peguam Henry Mazurek berkata, Leissner menyerah diri pada Jumaat di sebuah penjara persekutuan di Allenwood, Pennsylvania.
Penahanannya berlaku lapan tahun selepas dia mengaku bersalah membantu menggelapkan AS$4.5 bilion daripada dana 1MDB Malaysia.
Penipuan itu menjejaskan kerajaan Malaysia dan mengakibatkan Goldman membayar lebih daripada AS$5 bilion bagi menyelesaikan dakwaan salah laku.
Leissner, 56, yang dilahirkan di Jerman, mengaku menyertai skim yang diketuai oleh ahli perniagaan Malaysia, Jho Low. Beliau kemudian menjadi saksi utama kerajaan pada perbicaraan di Amerika Syarikat (AS) pada 2022 terhadap bekas rakan sekerja Goldman, Roger Ng Low yang menafikan salah laku sebelum didakwa pada 2018, dan kekal sebagai buruan.
Daripada sejumlah AS$6.5 bilion yang dikumpulkan oleh Goldman untuk transaksi bon 1MDB, Leissner memberi keterangan bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah digelapkan.
Beliau berkata, Low membayar kira-kira AS$2 bilion rasuah kepada pegawai asing, manakala AS$1 bilion lagi dibayar sebagai sogokan kepada peserta skim tersebut. Leissner mengakui bahawa dia sendiri mengaut AS$73.4 juta daripada 1MDB dan AS$80 juta lagi daripada Low.
Sejak hukumannya pada Mei, Leissner diberikan empat penangguhan dalam tarikh penyerahan penjaranya.
Hakim Daerah AS Margo Brodie pada lewat Khamis menolak satu lagi permintaan untuk penangguhan dan mengarahkannya melapor diri ke penjara.
Ng pula disabitkan kesalahan oleh juri persekutuan dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Tidak lama sebelum dia dijadualkan menjalani hukumannya pada tahun 2023, Ng dihantar ke negara asalnya, Malaysia untuk menghadapi perbicaraan di sana, di bawah perjanjian dengan AS.
Kerajaan Malaysia mengumumkan pada Disember sedang memohon ekstradisi Leissner.
Leissner memfailkan permohonan pengampunan kepada Jabatan Kehakiman AS tahun lalu, menurut notis di laman web DOJ.
Mazurek berkata, pengampunan adalah wajar memandangkan peranan anak guamnya dalam mendedahkan pelanggaran oleh Goldman dan pihak lain.
Sumber : Berita Harian Metro