TAWAU: Dua ahli perniagaan termasuk anak bekas wakil rakyat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas 22 pertuduhan mengemuka dokumen tuntutan mengandungi butiran matan palsu membabitkan pembekalan dan pengedaran gas petroleum cecair (LPG) bagi Program Penyeragaman Harga, antara 2021 hingga 2023.
Kedua-dua tertuduh, Mohd Zikri Sundu, 50, dan Mohdichsan Abd Muis, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama memberikan dokumen tuntutan perkhidmatan membekal serta mengedar LPG bagi Program Penyeragaman Harga kepada seorang ejen kerajaan, iaitu Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau.
Dokumen tuntutan itu membabitkan perkhidmatan pembekalan dan pengedaran LPG bagi tempoh Mei 2021 hingga Mei 2023, manakala perbuatan mengemuka dokumen berkenaan kepada KPDN dilakukan antara 5 Jun 2021 hingga 1 Mei 2023.
Dokumen berkenaan mengandungi butiran matan palsu berhubung kuantiti LPG yang dihantar ke pusat jualan di kawasan luar bandar, iaitu sebanyak 33,284 tong.
Bagaimanapun, kuantiti sebenar LPG yang dihantar bagi tempoh berkenaan didakwa hanya 28,072 tong, sekali gus menunjukkan perbezaan sebanyak 5,212 tong.
Perbuatan itu dilakukan di pejabat KPDN Cawangan Tawau dalam daerah Tawau, Sabah.
Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan, selain mencadangkan syarat tambahan termasuk kedua-duanya perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mendekati saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam, Abdul Ghani Zelika yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 setiap seorang dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selepas kontrak pembekalan dan pengedaran LPG berkenaan ditamatkan susulan siasatan terhadap kes itu.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 14 Januari 2027 untuk pengurusan kes pra-perbicaraan, manakala perbicaraan penuh dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Februari 2027.
Sumber : Berita Harian Online