ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman dua anggota penguat kuasa kerana disyaki menerima wang rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan memiliki dadah.
Perintah reman selama lima hari sehingga Khamis ini, terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an ditahan antara jam 4.30 hingga 5.30 petang kelmarin, ketika hadir bagi dirakam keterangan di Pejabat SPRM Kedah.
"Kedua-dua suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM1,500 daripada seorang lelaki.
"Wang itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit atas kesalahan memiliki dadah," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.