ALOR SETAR: Dua beranak yang juga pengarah dan pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja sebatian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen bagi permohonan tender Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), awal tahun ini.
Muhammad Fadzil Md Fadzilah, 30, dan bapanya, Md Fadzilah Ariffin, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan berasingan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Fadzil selaku Pengarah Taaveekun Manufacturing didakwa memberi pernyataan dokumen palsu tentang butiran matan data kewangan untuk mengelirukan Pengerusi Jawatankuasa Pembuka Tender MADA.
Butiran data kewangan itu adalah bagi permohonan tender 'Membekal, Menghantar dan Mengedar Baja Sebatian Di Bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di Kawasan Muda Untuk Keperluan Tanaman Padi Musim 1 dan 2 Tahun 2026'.
Dokumen itu adalah berkaitan pinjaman tetap yang akan layak diperoleh syarikat berjumlah RM7 juta; Surat Jaminan Kredit (RM8 juta) dan jaminan insurans (RM15 juta) sedangkan Taaveekun Manufacturing tidak pernah diberi kemudahan berkenaan oleh Permodalan RISDA Berhad.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat MADA, Daerah Kota Setar di sini, pada jam kira-kira 2.30 petang, 11 Januari lalu.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai butir palsu.
Tertuduh turut didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu iaitu 'Surat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)' bertarikh 6 Januari 2026 yang dilampirkan dalam permohonan tender sama di lokasi, masa dan tarikh sama.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau atau kedua-duanya sekali.
Pengarah Urusan didakwa bersubahat
Sementara itu, Md Fadzilah yang juga pengarah urusan syarikat pula didakwa bersubahat bersama Muhammad Fadzil memberi memberi pernyataan dokumen palsu tentang butiran matan data kewangan dan surat RISDA bertarikh 6 Januari 2026.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Fahmi Adilah.
Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM100,000 berserta penjamin setiap tertuduh bagi memastikan kedua-dua mereka hadir sepanjang perbicaraan.
Peguam bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah dikenakan berikutan tertuduh masih menyara keluarga masing-masing dan mempunyai anak kecil.
Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 serta penjamin ke atas setiap tertuduh dan menetapkan 1 November sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini, melaporkan seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja dikaitkan isu kelewatan pengagihan input pertanian itu di Kedah ditahan SPRM.
Siasatan awal SPRM mendapati sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja tetapi hingga September lalu, didakwa hanya 333,655 beg baja dibekalkan kepada pesawah di kawasan Muda, iaitu kekurangan 282,360 beg.
Sumber : Berita Harian Online