2 kakitangan wanita AADK ditahan SPRM, disyaki minta, terima RM2,000 selesai kes narkotik

Tarikh: 11/02/2026
img

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM2,000 sebagai balasan menyelesaikan kes narkotik.

Perintah reman selama empat hari bermula semalam terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas mendapat permohonan SPRM di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Menurut sumber, kedua-dua wanita berusia lingkungan 30 dan 40-an itu ditahan antara jam 2 hingga 5 petang Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

"Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada 2025. Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai kira-kira RM2,000 daripada seorang individu bagi menyelesaikan kes positif dadah hasil saringan ujian air kencing," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua wanita berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel