LABUAN: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan penyata bank palsu untuk mendapatkan kontrak kerja penyelenggaraan bernilai RM95,420 pada 2020.
Faizal Md Yassin, 45, didakwa mengemukakan penyata bank syarikat Efqi Jaya yang dipalsukan bagi Disember 2019 dan Januari 2022, kepada Jabatan Pendidikan Labuan untuk memohon kontrak kerja penyelenggaraan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat jabatan berkenaan di Kompleks Taman Kewangan, di sini, pada 14 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Faliq Basirudin, memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh, selaras dengan nilai kontrak terbabit.
Hakim Jason Juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 serta melapor diri kepada SPRM Labuan dua bulan sekali, dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, sementara menunggu sebutan semula pada 24 Mac depan.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi kontraktor, Mohd Asyraf Kula yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender RM1.6 juta pada Januari tahun lalu, dituduh atas pertuduhan baharu menggunakan penyata bank palsu untuk mendapatkan kontrak perkhidmatan menyiram pokok bernilai RM278,790 daripada Perbadanan Labuan (LC).
Mohd Asyraf, 30, memohon dibicarakan atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 akta sama, jika sabit kesalahan.
Tertuduh didakwa mengemukakan penyata bank milik M A Berkat Enterprise di Public Bank Berhad, yang dipalsukan bagi Jun 2019 kepada LC untuk memohon kontrak itu.
Pada 31 Januari 2022, Mohd Asyraf didakwa menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender RM1.6 juta bagi kerja retikulasi air luar dan pekerjaan berkaitan di Kolej Matrikulasi Labuan pada 2019, namun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Jason membenarkan kedua-dua pertuduhan itu disebut semula pada 24 Mac depan, dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000, selain tertuduh perlu melapor diri kepada SPRM Labuan dua bulan sekali.
Sumber : Berita Harian