IPOH: Dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lepas.
Leong Chooi Ying, 47, dan Phun Wing Kei, 31 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Leong sebagai pengarah MS Solution Management Services dan MN Tree Resources didakwa memberi Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 mengandungi pernyataan palsu kepada seorang ejen PERKESO bagi tuntutan insentif tersebut dengan niat memperdayakan prinsipalnya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Sri Pengkalan di sini pada 11.10 pagi, 14 Mac 2024 dan 7.19 pagi, 5 Mei 2024.
Sementara itu, Phun sebagai pengarah CKIN Management Services dan Diligent Cleaning Solution turut didakwa memberi borang mengandungi pernyataan palsu kepada dua ejen PERKESO bagi permohonan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 dengan niat yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Silibin Ria di sini pada 3.16 petang, 15 April 2024 dan 3.21 petang, 29 Mei 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap yang boleh dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM P Rubina, manakala peguam Damian Yeo Shen Li mewakili Leong dan peguam Lim Kwang Ching mewakili Phun.
Mahkamah menetapkan jaminan, masing-masing RM7,000 bagi Leong dan RM8,000 kepada Phun dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport dan dilarang mendekati saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 17 September ini untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.
– BERNAMA