KUALA LUMPUR: Dua pengurusan tertinggi konglomerat utama negara, IJM Corporation Bhd (IJM), dijangka dipanggil semula untuk memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.
BH difahamkan, sekurang-kurang lima individu akan turut dipanggil menjadi saksi, hari ini, berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Sumber berkata, SPRM sudah merakam sembilan pernyataan, termasuk membabitkan dua pengurusan tertinggi syarikat disiasat itu.
"Hari ini, rakaman pernyataan dua individu itu mungkin disambung, selain lima saksi," katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap IJM sedang berlangsung.
BH difahamkan ketika ini, siasatan SPRM dalam kes berkenaan sedang menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Sumber : Berita Harian Online