GENTING HIGHLANDS: Seramai 20 wartawan daripada pelbagai organisasi media menyertai Bengkel Kewartawanan anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan pemahaman mengenai peranan agensi antirasuah itu dalam memerangi dan mencegah rasuah.
Bengkel tiga hari itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai struktur, fungsi serta mekanisme semak dan imbang yang wujud dalam SPRM, termasuk proses siasatan, pengendalian kertas siasatan dan program pencegahan yang dijalankan.
Peserta turut diberi taklimat mengenai peranan panel bebas seperti Panel Penilaian Operasi (PPO) yang meneliti kertas siasatan diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA), sekali gus membantu wartawan memahami konteks sesuatu keputusan siasatan sebelum dilaporkan kepada umum.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata peranan media sangat penting dalam menyebarkan maklumat yang betul dan tepat kepada masyarakat.
Namun, ketika ini kegusaran SPRM adalah kewujudan penyebaran berita tidak benar dan tidak tepat.
"Tidak dapat dinafikan bahawa cabaran paling besar kepada SPRM dan semua agensi penguatkuasaan masa kini ialah pengaruh media sosial. Media sosial membolehkan sebarang dakwaan, tuduhan dan persepsi disebarkan dengan pantas, tanpa semakan dan tanpa menunggu proses siasatan disempurnakan.
"Dalam banyak keadaan, kes masih dalam siasatan, bukti sedang dikumpulkan, namun SPRM sudah pun dihakimi di mahkamah media sosial.
"Lebih membimbangkan, ruangan komen sering dimanipulasi oleh kumpulan tertentu yang diwujudkan secara terancang untuk menyemai kebencian dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap SPRM," katanya sewaktu Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan itu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Ahmad Khusairi berkata, SPRM tidak pernah melihat media sebagai musuh, sebaliknya kewartawanan penyiasatan atau 'investigative reporting' memainkan peranan penting sebagai rakan semak dan imbang kepada institusi penguatkuasaan.
Namun, SPRM tidak akan bertindak berdasarkan tekanan media sosial, perbicaraan awam atau naratif yang dibina tanpa asas kukuh.
"Laporan penyiasatan yang beretika, berfakta serta berasaskan dokumen telah membantu mendedahkan salah guna kuasa, ketirisan dan rasuah yang sebelum ini tersembunyi daripada pengetahuan umum. Dalam banyak keadaan, pendedahan awal oleh media melalui penyiasatan yang teliti menjadi pencetus kepada siasatan rasmi oleh SPRM.
"Namun, 'investigative reporting' bukan sekadar membuat dakwaan atau membina naratif berdasarkan sumber tidak dikenali. Kewartawanan penyiasatan yang sebenar menuntut disiplin tinggi di mana ia memerlukan pengesahan dokumen, rujukan silang, pemahaman undang-undang serta kesediaan membezakan antara fakta, syak wasangka dan spekulasi," katanya.
Sumber : Berita Harian Online