4 prosiding berprofil tinggi antara tumpuan mahkamah minggu ini

Tarikh: 05/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Empat prosiding mahkamah berprofil tinggi membabitkan bekas menteri, ahli perniagaan dan pempengaruh dijangka menjadi tumpuan sepanjang minggu ini.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Pendengaran ditetapkan pada 5, 7 dan 9 Januari 2026. Sebelum ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan mereka selepas mendapati keterangan pendakwaan tidak mencukupi, termasuk isu kebakaran dan analisis petrol.

Bekas menteri beri keterangan

Seterusnya, pada 6 Januari, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir akan memberi keterangan dalam kes saman fitnah terhadap pempengaruh dan ahli perniagaan, Datuk Aliff Syukri Kamaruzaman.

Abdul Kadir mendakwa kenyataan Aliff di Instagram berhubung hutang puluhan juta ringgit menjejaskan reputasinya.

Beliau menuntut ganti rugi, injunksi serta permohonan maaf terbuka, manakala Aliff mempertahan kenyataannya atas alasan justifikasi berkaitan pelaburan bersama.

Pada 8 Januari, Mahkamah Sesyen akan membuat sebutan semula kes rasuah membabitkan ahli perniagaan Albert Tei dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kedua-duanya didakwa kerana terbabit rasuah berjumlah RM64,924 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah. Mereka mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 8 Disember lalu.

Tarikh sama turut menyaksikan sebutan semula kes pecah amanah RM145.5 juta dihadapi Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed berkaitan projek Lebuhraya MEX II.

Kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk digabungkan dengan empat pertuduhan lain.

Peguam Datuk Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid tidak membantah permohonan itu, manakala Abu Sahid pula mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan ikat jamin RM1.5 juta dikekalkan.


Sumber :Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel