6 ditahan SPRM kes tuntutan palsu tiket penerbangan RM1.3 juta

Tarikh: 11/02/2026
img

KOTA KINABALU: Empat pegawai awam sebuah badan berkanun Persekutuan serta dua pekerja sebuah agensi pelancongan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, semalam berhubung kes tuntutan palsu pembelian tiket penerbangan bernilai hampir RM1.3 juta.

Menurut sumber, tuntutan berkenaan dipercayai menggunakan butiran penerbangan dipalsukan dan tiket sebenar tidak disediakan syarikat itu kepada penjawat di jabatan terbabit.

"Enam suspek membabitkan dua lelaki dan empat wanita berusia dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah untuk memberikan keterangan," katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, mengesahkan penangkapan itu dan perintah reman akan dimohon di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Beberapa siri tangkapan juga dijangka dibuat berdasarkan perkembangan siasatan kes itu nanti," katanya.


Sumber : Berita Harian OnlineĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel