TAWAU: Enam individu termasuk seorang bergelar Datuk direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penipuan terhadap deklarasi penjualan hasil perlombongan emas.
Kesemua individu terbabit terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 42 hingga 67 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Tawau tengah malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Perintah tahanan reman tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu selepas membenarkan permohonan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibuat Pegawai Pendakwa SPRM Asmawi Kulup Lam di Mahkamah Majistret Tawau di sini, hari ini.
Difahamkan, kesemua individu berkenaan termasuk berjawatan ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat dengan curangnya disyaki memperdaya kerajaan negeri dengan mengemukakan penyata penjualan emas yang mempunyai butiran palsu.
Perbuatan itu dilakukan dipercayai untuk mengelak dan membayar royalti emas sebenar kepada kerajaan negeri terhadap hasil emas yang dilombong di Bukit Mantri dekat sini.
Difahamkan, sebanyak 100 kilogram emas membabitkan nilai RM25 juta yang tidak dilaporkan penghasilannya dan sepatutnya menyumbang pembayaran royalti berjumlah RM1.25 juta kepada kerajaan negeri bagi tempoh bermula 2020 sehingga 2022.
Penipuan dibuat melalui pakatan membabitkan dua syarikat yang mana kesemua mereka itu mempunyai kepentingan di dalamnya.
Sumber: Harian Metro