80 sijil kelahiran palsu dikesan, sindiket jual di pasaran gelap
Putrajaya: Sindiket akan menggunakan khidmat pemaklum kelahiran bagi mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa pendaftaran.
Malah selepas menerima sijil kelahiran sah ia kemudian akan dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga selain dipercayai sindiket turut mempunyai rangkaian dalam serta luar negara selain terbabit penyeludupan kanak-kanak luar negara.
Bagaimanapun kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pengesahan kelahiran didalangi empat orang termasuk pengamal undang-undang bersama enam pemaklum sejak tiga tahun lalu tumpas dalam Ops Tumpang dengan 80 sijil kelahiran dikesan sudah dikeluarkan JPN.
Serbuan dijalankan serentak di beberapa lokasi di empat negeri iaitu Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang, dan Perak Selasa lalu menahan dua wanita dan lapan lelaki.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi ini adalah hasil risikan bersama JPN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama setahun serta perancangan rapi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat diambil secara menyeluruh terhadap individu dan pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah ini.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket ini terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dengan menghasilkan dokumen palsu yang direka dan ditiru bagi menyerupai pengesahan rasmi daripada fasiliti kesihatan swasta yang berdaftar dan beroperasi secara sah.
"Dokumen ini kemudiannya digunakan untuk memperdaya pihak JPN bagi tujuan pendaftaran kelahiran.
"Modus operandi sindiket ini membabitkan individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter JPN semasa pendaftaran," katanya pada sidang media di JPN, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, setelah sijil kelahiran yang sah diperoleh, ia dipercayai akan dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak jagaan yang tidak mempunyai pengenalan diri dan kewarganegaraan Malaysia.
"Sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian dalam dan luar negara serta berkemungkinan besar terbabit dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri dan dijual kepada ibu bapa berkenaan.
"Empat daripada mereka termasuk seorang wanita yang juga pengamal undang-undang disyaki sebagai orang tengah (antara ejen dan pemohon) dipercayai sebagai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen ini.
"Enam lagi dikenal pasti sebagai pemaklum kelahiran. Turut dirampas bersama suspek adalah wang tunai berjumlah RM54,000 dipercayai hasil daripada aktiviti haram terbabit," katanya.
Beliau berkata, JPN tidak menolak kemungkinan ada tangkapan akan menyusul seiring dengan perkembangan siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1)(b), Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) kerana disyaki mengemukakan maklumat palsu semasa pendaftaran kelahiran, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"Kes sama dijangka disiasat di bawah perundangan lain di bawah bidang kuasa SPRM," katanya.
Katanya, JPN ingin menegaskan komitmen tinggi dan berterusan kami dalam memastikan integriti serta ketulenan dokumen pengenalan diri negara kekal terpelihara tanpa sebarang kompromi.
"Sebarang percubaan untuk memalsukan dokumen rasmi adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM melancarkan Op Outlander dan Op Birth kelmarin, membabitkan serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.
Menurutnya, bagi Op Outlander, suspek utama adalah penjawat awam dan dia disyaki melakukan perbuatan itu dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.
"Dipercayai, pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu," katanya dipetik.