Kuala Nerus: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki tidak menolak kemungkinan ada lagi premis dijadikan 'safe house' kes rasuah konsesi perlombongan pasir yang akan digeledah.
Setakat ini, kata beliau, sembilan premis yang disyaki ada kaitan dengan ahli politik berpengaruh yang terkait kes rasuah konsesi perlombongan pasir sudah digeledah.
"Saya tidak menolak kemungkinan (dan) kalau ada, kerja kami untuk mendapatkan bukti-bukti dan kalau sekiranya perlu kita geledah, kita geledahlah.
"Apa nama yang digunakan itu tidak penting, safe house ke rumah selamat ke, rumah simpanan ke, tak kisah.
"Mana-mana tempat yang mempunyai barang bukti, menjadi tugas pada pegawai penyiasat saya untuk mencari bukti berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Integriti Muda (YIO)/Kadet KOR Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (KOR SUAR) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kohort 2/2024 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA, di sini, hari ini.
Azam berkata, kira-kira 20 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes itu setakat ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi individu yang akan dipanggil untuk membantu siasatan, termasuk memanggil ahli politik yang terkait dalam kes berkenaan.
"Untuk nilai rampasan, buat masa ini, saya belum berhasrat untuk memberi jumlah keseluruhan, itu saya biarkan dulu sehingga kita dapat segala bukti-bukti, keterangan yang lebih jelas.
"Saya akan maklumkan dari semasa ke semasa kerana ini sudah menjadi isu 'public interest'," katanya.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan safe house seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta.
Sumber: Harian Metro