Siasatan SPRM didakwa menemui bukti yang menunjukkan bahawa dana daripada beberapa syarikat perjudian digunakan untuk membiayai sekurang-kurangnya tiga kempen pilihan raya sejak 2018.
Sekurang-kurangnya 14 orang dilaporkan telah ditahan dan lebih ramai lagi akan dipanggil bagi menyelesaikan skandal perjudian membabitkan rasuah berkenaan.
Utusan Malaysia melaporkan, SPRM mendapati dana bernilai RM6 juta hingga RM7 juta itu dipercayai diterima orang kenamaan dan pemimpin politik selepas syarikat perjudian tersebut diberi lesen mengoperasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persatuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.
Sebahagian daripada dana itu kemudiannya didakwa digunakan untuk membiayai kempen semasa pilihan raya umum ke-14 dan ke-15, serta enam pilihan raya negeri baru-baru ini.
Siasatan SPRM mendapati, selain dana bagi tujuan politik, syarikat judi tersebut juga dikatakan dipaksa menaja pelbagai aktiviti membabitkan VIP dan pemimpin politik berkenaan seperti bermain golf di kelab-kelab mewah.
Akhbar itu yang memetik sumber SPRM, juga tidak menolak kemungkinan terdapat bayaran tertentu dibuat syarikat-syarikat tersebut kepada pihak berkuasa di negara ini secara bulanan agar operasi judi yang dijalankan lancar dan tidak diganggu
Setakat ini, 13 individu termasuk seorang Tan Sri dan seorang Datuk Seri telah ditahan SPRM menerusi operasi khas pada Rabu lalu.
Tangkapan ke-14 membabitkan seorang pengendali syarikat perjudian di Pulau Pinang yang ditahan pada Ahad dan direman selama tiga hari.
Memetik sumber, Utusan Malaysia semalam melaporkan SPRM juga sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai berada di luar negara sejak seminggu lalu bagi membantu siasatan sama.
Sumber itu berkata, nama individu berkenaan mungkin didedahkan SPRM sekiranya mereka masih enggan tampil membantu siasatan.
Selain itu, SPRM juga, katanya, akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan mereka.
Dari maklumat diperoleh, individu berkenaan dipercayai telah berada di negara jiran dan sebuah negara Eropah sejak seminggu lalu.
Sementara itu, SPRM dilaporkan telah membekukan akaun beberapa individu dan syarikat berjumlah RM40 juta, susulan penahanan tersebut.
Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membayangkan bahawa kempen Perikatan Nasional sebahagiannya dibiayai oleh hasil perjudian.
Bagaimanapun, pada Mei tahun ini, dilaporkan SPRM masih belum membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu kerana kekurangan bukti tertentu.
Ini menimbulkan kekecohan daripada PN, yang menuduh Anwar memfitnah.
Perdana menteri menegaskan bahawa dia tidak akan “bercakap tanpa bukti”.
Tidak jelas sama ada tindakan SPRM sekarang itu berkaitan dengan dakwaan Anwar ataupun tidak.
Sumber: MalaysiaKini