KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan peguam Mahajoth Singh untuk mendapatkan kebenaran memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar dua arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan anak guamnya ahli perniagaan, Albert Tei.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah, arahan SPRM terhadap Mahajoth, 31, untuk memeriksa beliau dan memintanya mengemukakan dokumen tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
"Arahan mengikut Seksyen 30(1)(a) dan b) Akta SPRM 2009 adalah pelaksanaan fungsi dalam proses siasatan jenayah.
"Justeru, ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman," katanya pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Yoke Yee Ching.
Peguam N Surendran yang mewakili Mahajoth, pula berkata arahan itu tidak sah dan tidak boleh dikuat kuasa kerana SPRM melanggar perlindungan statutori terhadap komunikasi terlindung antara peguam dan anak guamnya mengikut Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 serta Seksyen 46(2) Akta SPRM 2009.
Mahkamah menetapkan 28 Januari ini untuk memutuskan permohonan Mahajoth yang difailkan pada 9 Disember lalu.
Antara barangan diminta SPRM dalam arahan itu ialah telefon bimbit Tei, dokumen berkaitan pembelian perabot, pakaian, kamera dan salinan perbualan WhatsApp antara Tei serta beberapa individu. – BERNAMA