Agong alu-alukan usaha negara bendung ketirisan dana awam, banteras rasuah secara agresif

Tarikh: 14/02/2023
img

KUALA LUMPUR: Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalu-alukan usaha membendung ketirisan dana awam, selain tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, ia penting untuk mendepani pelbagai cabaran yang mendatang memandangkan Malaysia selaku negara yang mengamalkan ekonomi terbuka tidak terkecuali menerima tempias cabaran ekonomi global.

Selain itu, titah baginda ia turut mengambil kira cabaran dari segi ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik serta krisis geopolitik yang membawa kesan kepada rantaian bekalan dan tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup.

"Bagi mendepani cabaran ini, beta mengalu-alukan usaha untuk membendung isu ketirisan dana awam, termasuk inisiatif untuk mempercepat dan memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamatnya dengan berkesan.

"Bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, beta menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di sini, hari ini.

Turut berkenan hadir ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat pembukaan itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul. Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk 2022 dikeluarkan Transparency International (TI) sebelum ini menunjukkan kedudukan Malaysia terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.

Skor terkini itu menunjukkan negara jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun 53 yang dicatat pada 2019, dengan Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, menyatakan ia menunjukkan negara menuju ke arah salah dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam.

CPI menggunakan skala di mana 0 dianggap sangat korup dan 100 dianggap sangat bersih.

Al-Sultah Abdullah bertitah, kerajaan pada masa sama akan menumpukan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Prestasi ekonomi negara terbukti melalui nilai eksport RM1.55 trilion yang dicapai pada Disember 2022, melepasi sasaran tiga tahun lebih awal berbanding ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), selain mencatat pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun, iaitu berkembang 8.7 peratus pada tahun 2022 dan terbaik di Asia Tenggara.

"Ini dapat dicapai menerusi kerja keras dengan pendekatan pendekatan seluruh negara daripada pelbagai pihak merangkumi kerajaan, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat keseluruhannya. Syabas Malaysia.

"Pelaksanaan dasar dan inisiatif nasional seperti dasar pelaburan baharu berteraskan aspirasi pelaburan nasional, akan merancakkan lagi ekonomi negara dan mencapai sasaran yang diunjurkan," katanya.

Al-Sultan Abdullah juga menitahkan kerajaan supaya terus berusaha memerangi kemiskinan tegar bagi mencapai sasaran sifar kemiskinan tegar pada 2025.

Titah baginda, Majlis Tindakan Sara Hidup juga akan diperkasa dengan menerap dan meningkatkan pendekatan secara menyeluruh kekuatan negara, bagi mendepani masalah inflasi dan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

"Ekosistem perdagangan dalam negeri akan terus diperkasa bagi melindungi kepentingan pengguna melalui konsep mengharmonikan ekonomi.

"Kerajaan beta akan terus mengambil langkah untuk meringankan beban penternak, petani dan pengeluar makanan, susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan supaya kelangsungan pengeluaran makanan negara berada pada tahap yang optimum dan aspek keterjaminan makanan negara kekal pada tahap terbaik.

"Ekosistem industri juga perlu sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring perkembangan semasa," katanya.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel