KUALA LUMPUR – Agrobank komited memupuk kesedaran tentang kepentingan integriti dan mewujudkan sebuah organisasi yang bebas rasuah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, integriti adalah elemen utama dalam kehidupan harian termasuk pentadbiran dan kepimpinan.
“Hari ini semua pelosok pekerja Agrobank telah bersama-sama melafazkan ikrar antirasuah dan saya kira program seperti ini diadakan untuk menerapkan nilai-nilai bebas rasuah dan tahap integriti tertinggi dalam kalangan pekerja Agrobank,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Minggu Integriti Agrobank 2024, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Samsul Salip.
Menurut Tengku Ahmad Badli, integriti bukan sekadar ungkapan, tetapi pemangkin kepada budaya kerja yang positif.
Tambah beliau, dengan usaha berterusan seperti itu, Agrobank yakin mampu menjadi contoh teladan dalam membudayakan integriti dalam sektor kewangan di Malaysia.
Sumber: MalaysiaGazette