Melaka: Ketua sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud dan pekerjanya masing masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, tadi, atas kesalahan memberi rasuah RM60,000 kepada pegawai kanan polis, tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu pada prosiding berasingan terhadap Teo Teck Qing, 26, dan Keong Kah Wai, 19, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan pada sebutan kes itu semalam.
Mengikut pertuduhan pilihan, Teo didakwa memberikan suapan wang tunai RM60,000 kepada seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan yang bertugas di lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh dan rakan-rakannya yang disyaki melakukan kesalahan aktiviti penipuan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Keong pula didakwa mengikut Seksyen 109 KK dibaca bersama Seksyen 214kk kerana bersubahat dalam pelakuan kesalahan Teo yang memberikan suapan kepada pegawai kanan polis berkenaan bagi tujuan sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai serbaneka di Simpang Point Fasa ll, Simpang Ampat, Alor Gajah, pada 1 Jun 2023, kira-kira jam 1.15 tengah hari.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin memaklumkan pendakwaan menerima representasi dihantar pembelaan berhubung kes itu dan menawarkan pertuduhan pilihan.
Pada 16 April lalu kedua-dua tertuduh mohon dibicarakan atas pertuduhan utama mengikut Seksyen 17(6) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mengikut fakta kes, Teo adalah pengurus aktiviti 'Scam' pinjaman tidak wujud (PTW) di sekitar negeri ini manakala Keong adalah pekerjanya.
Teo ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada polis selepas 11 rakannya termasuk Keong ditahan dalam operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJD) Melaka Tengah diketuai Deputi Superintendan Supari Muhammad (pengadu) di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, di sini, kira-kira jam 10.40 pagi, 1 Jun 2023
Keong memaklumkan pengadu bahawa Teo atau 'Ah Boy' adalah ketua sindiket dan bertanya 'boleh settle ka?' kerana tertuduh pertama boleh beri sejumlah wang dan bertindak menghubunginya melalui aplikasi Wechat.
Pengadu bersama dua anggota polis menemui Teo di tempat dijanjikan dan lelaki itu membawa mereka di kereta dan menunjukkan wang RM60,000 yang dijanjikan di dalam beg berwarna hijau di bahagian kaki tempat duduk penumpang hadapan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal membayar serta membenarkan permohonan berkaitan eksibit wang.
Sumber: Harian Metro