Ahli perniagaan, bekas pengarah syarikat didakwa tipu insentif Penjana

Tarikh: 09/10/2023
img

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan didenda RM180,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku salah memperdayakan akauntan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung insentif pengambilan kerja di bawah Program Penjana Kerjaya. Sementara, bekas pengarah syarikat pula diperintahkan membayar denda RM50,000 oleh mahkamah sama selepas mengaku salah menggunakan dokumen palsu membabitkan insentif sama.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap G Dharmaseelan, 31, (ahli perniagaan) serta Mohd Hamdi Mohamed Zain, 44 (bekas pengarah syarikat) dan turut memerintahkan masing-masing dipenjara 20 bulan dan 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dharmaseelan didakwa memperdayakan Akauntan Kanan Bahagian Kewangan Perkeso untuk mempercayai bahawa dia mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bagi 60 pekerja syarikat GSD Resources miliknya.

Ia menyebabkan pegawai itu meluluskan baucar bayaran bertarikh 10 November 2021 berjumlah RM86,240 ke dalam akaun bank syarikat berkenaan.

Dharmaseelan yang diwakili peguam TP Aravind Raj, didakwa melakukan kesalahan di Menara Perkeso, Jalan Ampang, di sini, pada 10 November 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mohd Hamdi pula didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu borang pengesahan pekerja atas nama Perusahaan Synergy Communication Technology Sdn Bhd (SCTSB) miliknya bagi permohonan program insentif pengambilan pekerja berjumlah RM45,600 melalui sistem Penjana Kerjaya untuk memperdayakan pegawai Perkeso.

Kesalahan dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, di sini, pada 31 Mac 2021, didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqah Ab Razak, manakala Mohd Hamidi tidak diwakili peguam.

Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel