'Akaun BERSATU dibeku selaras peruntukan undang-undang'

Tarikh: 13/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, hari ini diberitahu, tiada bukti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengah-lengahkan memberi maklum balas terhadap permohonan BERSATU untuk meminda perintah pembekuan dua akaunnya.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili Kerajaan Malaysia dan SPRM selaku responden berhujah, malah tiada bukti yang menunjukkan suruhanjaya itu sengaja berbuat demikian untuk memudaratkan BERSATU.

Beliau berkata, permohonan pertama dikemukakan BERSATU pada 27 Januari 2023 dan permohonan kedua pada 31 Mac tahun sama, di mana SPRM sudah memaklumkan mereka menolaknya atas alasan akaun bank berkenaan menjadi perkara subjek siasatan SPRM.

Katanya, kemudian terdapat permohonan ketiga yang dibuat pada 1 Mac 2023 dan SPRM sudah memberi maklum balas pada hari yang sama.

"Oleh itu, kami menghujahkan bahawa maklum balas telah diberikan dalam tempoh yang munasabah dan tiada garis masa dinyatakan di bawah Seksyen 44A Akta SPRM yang mewajibkan kami memberi maklum balas terhadap permohonan dalam tempoh tertentu.

"Ketiga-tiga permohonan pindaan perintah telah dijawab oleh SPRM dalam tempoh yang munasabah.

"Sehubungan itu, kami menghujahkan bahawa tiada ketidakpatuhan prosedur atau ketidaksahan dalam perintah pembekuan berkenaan," katanya.

Nurhafizza berkata, perintah pembekuan berkenaan adalah wajar kerana ia dibuat selaras dengan undang-undang dan dalam ruang lingkup kuasa penyiasatan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika menyambung hujahan terhadap permohonan semakan kehakiman BERSATU bagi mencabar pembekuan dan penyitaan dua akaun bank miliknya.

SPRM membekukan dua akaun bank BERSATU pada Januari 2023 sebelum menyitanya pada April 2023 selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sebulan sebelum itu.

Pada 30 Oktober 2023, mahkamah membenarkan BERSATU memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaunnya.

Pada 29 Mei 2023, Kapt (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam BERSATU, memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berkenaan.

Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

BERSATU mendakwa bahawa pada 19 April 2023, akaun bank CIMB dan AmBank parti itu disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta AMLATFPUAA 2001.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman menetapkan 1 Mac ini bagi keputusan selepas mendengar hujahan peguam Chetan Jethwani dan Rosli Dahlan yang mewakili BERSATU dan Nurhafizza.

Terdahulu, Chetan berhujah, permohonan untuk mencabar tindakan SPRM itu boleh dikemukakan dan diputuskan melalui tindakan sivil dan tidak boleh ditentukan melalui prosiding jenayah seperti yang dihujahkan pihak kerajaan.

Beliau berkatam ia kerana BERSATU selaku sebuah pertubuhan tidak didakwa di mahkamah di bawah pertuduhan jenayah, manakala wang dalam akaun berkenan bukan milik presiden, sebaliknya milik parti itu.

Katanya, oleh itu, pihaknya tidak bersetuju dengan hujahan kerajaan bahawa isu pembekuan dan penyitaan dua akaun bank terbabit sepatutnya diputuskan melalui permohonan jenayah dan bukan dalam prosiding sivil.


Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel