Albert Tei atau Chegubard, siapa sebenarnya 'whistleblower'…ini penerangan KP SPRM

Tarikh: 12/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menjelaskan bahawa Albert Tei bukan seorang pemberi maklumat yang boleh dilindungi dalam perundangan negara, atas faktor ahli perniagaan itu terbabit dalam jenayah yang didedahkannya.

Berbeza dengan Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, Azam berkata, Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson itulah pengadu yang datang melaporkan maklumat kepada polis, dan SPRM mengambil tindakan berdasarkan laporan itu.

"Chegubard adalah pengadu. Dia pergi ke balai polis, membuat laporan, dan barulah dia membuat kenyataan awam. Dia adalah pengadu, bukan 'whistleblower'.

"Satu lagi, dia tak terbabit pun dalam jenayah berkenaan. Itu saja. Jadi, berdasarkan maklumat yang dilaporkan kepada polis itu, SPRM ambil tindakan. Dia buat laporan pada hari Isnin, dan pada hari Selasa kami ambil tindakan.

"Pada hari Rabu, dia datang ke SPRM dan membuat laporan, dan kita sebenarnya sudah menjalankan siasatan awal lagi iaitu sebelum dia datang.

"Berbeza dengan Albert Tei, dia terbabit dalam jenayah berkenaan. Itu faktanya. Dia bercakap dengan media dan sebagainya… tetapi ia terpulanglah. Cuma klasifikasinya, dia bukan seorang pengadu tetapi seorang yang terlibat, terlibat sebagai suspek," katanya dalam podcast Borak Harini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis lalu menetapkan 13 Mac bagi sebutan semula kes rasuah Albert Tei.

Mengikut pertuduhan, Tei didakwa memberikan suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik seorang wanita bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur, kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Suapan itu adalah sebagai dorongan bagi Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang Tei mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 21 Disember lalu, Chegubard ketika bercakap di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas membuat laporan mengenai dakwaan aliran masuk tunai yang besar ke dalam akaun seorang pegawai kanan tentera.

Sehari selepas laporan itu, Azam menjemput sendiri Chegubard untuk mengemukakan maklumat itu.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel