Kuala Lumpur: Ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan itu.
Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin, Albert didakwa memberikan suapan berbentuk wang tunai, kelengkapan perabot dan barangan elektrik keseluruhan berjumlah RM176,829.03 kepada Shamsul Iskandar.
Pemberian itu didakwa sebagai dorongan membantu syarikat-syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.
Kesalahan berkenaan dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin; sebuah premis di Bukit Bandaraya dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Latheefa Koya, Eric Paulsen, Mahajoth Singh, N Surendran dan Rajesh Nagarajan.
Latheefa yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah kerana anak guamnya mempunyai kes pertuduhan lain di Sabah dan sepanjang tempoh itu tidak pernah gagal hadir melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan dua penjamin warga tempatan bersama syarat tambahan lain iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 8 Januari 2026 untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Terdahulu di mahkamah sama, Shamsul Iskandar didakwa atas empat pertuduhan bersetuju menerima rasuah dan menerima suapan itu daripada Albert.
Pada 27 November lalu, tiga individu termasuk seorang wanita, Sofia Rini Buyong ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, kes diklasifikasikan sebagai berkepentingan awam kerana membabitkan pegawai kanan kerajaan manakala Albert menjadi individu paling penting dalam siasatan dakwaan terbabit.
Beliau berkata, Sofia tidak dituduh dan ditetapkan sebagai saksi pendakwaan.
Sumber: Berita Harian Metro