Albert Tei sekali lagi gesa pihak berkuasa dedahkan rakaman CCTV serbuan SPRM ke rumahnya

Tarikh: 17/12/2025
img

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Albert Tei sekali lagi menggesa pihak berkuasa mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Puchong pada 28 November lalu, dengan menegaskan rakaman itu penting bagi menyokong dakwaannya bahawa senjata api telah dihalakan ke arah beliau dan isterinya.

Dalam kenyataan hari ini, Tei berkata, pendedahan rakaman tersebut perlu dibuat demi kepentingan ketelusan dan keadilan.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, yang memaklumkan bahawa pihak polis tidak menemui bukti bagi menyokong dakwaan Tei.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai 'tidak selari dengan fakta', Tei berkata, pihak penyiasat telah pun merakam keterangan beliau dan isterinya, Lee Pei Rie, menjalankan lakon semula kejadian serta kembali ke lokasi kejadian lebih daripada sekali.

Menurut Tei, bahan bukti paling penting masih lagi perakam CCTV yang dirampas semasa serbuan tersebut, sambil menambah bahawa beliau telah memberikan maklumat log masuk kepada pegawai penyiasat bagi membolehkan rakaman itu diteliti sejak peringkat awal siasatan.

"Dalam tempoh seminggu, pegawai penyiasat datang ke rumah saya sebanyak dua kali untuk mengambil gambar, merakam kenyataan saya dan membuat rakaman video lakon semula kejadian," katanya.

Tei mendakwa enam laras senjata api telah dihalakan ke arah beliau dan isterinya oleh pegawai SPRM, sebahagian daripada mereka memakai penutup muka (balaclava).

"Saya telah memberikan kata laluan dan maklumat log masuk rakaman CCTV kepada pegawai penyiasat untuk diteliti. Jadi apa maksud mereka apabila mengatakan tiada bukti untuk menyokong dakwaan saya?" soalnya.

Mempersoalkan perkembangan siasatan, Tei turut bertanya siapakah yang telah menonton rakaman tersebut setakat ini dan sama ada kandungan rakaman itu tidak mencukupi untuk mengesahkan dakwaannya.

Beliau sekali lagi menggesa pihak berkuasa supaya mendedahkan rakaman CCTV itu kepada umum agar keadilan dapat ditegakkan buat keluarganya.

Tei turut memaklumkan bahawa pegawai penyiasat polis dijadualkan kembali ke kediamannya lewat hari ini bagi mendapatkan keterangan daripada ahli keluarga yang berada di rumah ketika serbuan tersebut dijalankan.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel