Ali Sultan jual ayam, itik cuba rasuah penguat kuasa RM1,000

Tarikh: 02/08/2024
img

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kedai runcit warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu. Tertuduh, Ali Sultan, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.


Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada seorang pembantu penguatkuasa MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit kerana telah gagal mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan MBIP. Kedai runcit di mana tertuduh bekerja menjalankan aktiviti menjual ayam, itik dan ikan hidup yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.


Kesalahan itu dilakukan di premis tersebut di Jalan Pelepas 4/1, Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada pukul 11.04 pagi, 16 Ogos 2023. Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.


Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan untuk dijamin kerana berisiko melarikan diri. Ali Sultan memohon jaminan dikurangkan kerana baru dua tahun bekerja di Malaysia dan mempunyai tanggungan anak dan isteri di Bangladesh serta masih menampung perbelanjaan adik-adiknya. Hakim Ahmad Kamal Ariffin menangguhkan hukuman yang dikenakan terhadap suspek kerana tidak berpuas hati dengan bagaimana prosiding berjalan.


“Prosiding sepatutnya berjalan lancar di mana tertuduh faham pertuduhan dan hukuman. Oleh itu, mahkamah beri masa kepada tertuduh untuk lantik peguam selain dapatkan jurubahasa Bangladesh bagi memastikan prosiding berjalan lancar,” katanya. Tertuduh turut tidak dibenarkan jaminan dan akan ditahan reman di Pusat Koreksional Johor Bahru (Pusat Reman Johor) sehingga tarikh sebutan semula pada 25 Ogos ini.


Sumber: Kosmo Online 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel