JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian tanah awam yang asalnya diwartakan sebagai tapak pasar di Kampung Baru Pandan, di sini, kepada seorang ahli politik.
Timbalan Ketua AMK Johor, Jalex Lee berkata tanah berkenaan didakwa dikurniakan kepada individu yang juga ketua pemuda sebuah parti politik pada 4 Ogos lalu.
Beliau berkata, isu itu mula mendapat perhatian apabila Notis Pengosongan Tanah dikeluarkan terhadap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pandan pada Oktober lalu.
Menurutnya, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan serius berhubung kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa khususnya membabitkan pemberian tanah awam kepada individu yang mempunyai kaitan politik.
"Tanah awam sepatutnya dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat diberikan kepada rakan politik.
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan hak, kebajikan dan kepentingan penduduk setempat," katanya melalui kenyataan di Facebook.
Jalex berkata, beliau berharap SPRM dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi memastikan segala fakta berkaitan isu berkenaan dapat dikenal pasti serta keadilan ditegakkan.
Sumber : Berita Harian Online