ALOR SETAR – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan rasuah berjumlah RM2,300, dua tahun lalu.
Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhamad Abdul Hadi Abdullah, 35, mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Priscilla turut memerintahkan tertuduh dipenjara 25 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Muhamad Abdul Hadi membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, kedua, keempat dan kelima, tertuduh yang berpangkat Laskar Kanan Maritim Gred T4 didakwa menerima wang berjumlah RM500 untuk setiap pertuduhan.
Dalam pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang berjumlah RM300 dan kesemua kesalahan didakwa dilakukan tertuduh di RHB Bank Cawangan Langkawi pada 2 Januari, 10 April, 11 Mei, 7 Julai dan 8 Oktober 2022
Pertuduhan dikendalikan dua Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd. Muntaqim Abdul Aziz dan Mohd. Syahzada Azad Sanusi mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: KOSMO! ONLINE