Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan segera membabitkan tuduhan ke atas bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Perdana Menteri memberi jaminan bahawa SPRM diberi kebebasan berbuat demikian tanpa sebarang campur tangan luar.
"Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar.
"Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang," katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Shamsul Iskandar yang juga Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya, mengumumkan peletakan jawatannya, dengan surat berkenaan sudah diserahkan kepada Perdana Menteri.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pihaknya menerima peletakan jawatan itu dan mengucapkan terima kasih atas khidmat Shamsul Iskandar.
"Saya menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau," katanya.
Shamsul Iskandar dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri pada Disember 2022.
Sebelum ini, Perdana Menteri membuat teguran keras kepada Shamsul Iskandar kerana mengeluarkan surat sokongan kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024.
Ketika di Dewan Rakyat baru-baru ini, Anwar menegaskan sudah menegur tindakan Shamsul Iskandar itu dan menjelaskan, peraturan serta prinsip kerajaan tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.
Perkara itu dibangkitkan pembangkang berhubung tindakan Shamsul Iskandar yang didakwa mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Sumber: Berita Harian Metro