ASP polis tidak mengaku terima rasuah
Kangar: Pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua tuduhan menerima suapan RM12,000 sebagai dorongan terhadap kes jenayah yang disiasat pada 2019.
Tertuduh, K Poobalan, 46, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang hanya mengangguk faham dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut pertuduhan pertama, Poobalan didakwa menerima RM6,000 daripada individu terbabit dalam penyiasatan tertuduh terhadap kes yang dilaporkan di Balai Polis Datuk Keramat, Pulau Pinang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Padang Besar pada 24 April 2019.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang RM6,000 daripada adik kepada individu dalam pertuduhan pertama di cawangan bank yang sama pada 15 Mei 2019.
Kesalahan didakwa mengikut mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili dua peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan kes disebut semula 4 Oktober depan.
Sumber: Harian Metro