Audio ADUN didakwa bincang rasuah: SPRM belum terima aduan rasmi - Azam

Tarikh: 20/11/2024
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada menerima sebarang aduan rasmi, setakat ini, daripada mana-mana pihak termasuk pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai rakaman audio Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikata membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata peguam kepada pemberi maklumat terbabit ada bertemu pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.


"Namun ketika pertemuan berkenaan, peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat di mana beberapa orang didengar sedang berbincang mengenai wang.


"Dia tidak memaklumkan siapa ADUN yang terbabit, dan bersedia untuk memberikan sejumlah bukti jika SPRM menandatangani persetujuan menyatakan anak guamnya tidak akan diletakkan bawah siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Azam berkata, pegawai SPRM terbabit bagaimanapun tidak bersetuju menandatangani persetujuan itu kerana ia bukan prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi suruhanjaya berkenaan.


Pada pertemuan itu juga, katanya, peguam berkenaan menyatakan beliau tidak mempercayai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.


Beliau berkata, ia memandangkan peguam terbabit yakin akta itu tidak memadai dan tidak memberikan sebarang jaminan yang anak guamnya akan dilindungi secara wajar.


"SPRM tidak boleh memberikan sebarang jaminan imuniti bertulis terhadap mana-mana individu itu tidak akan disiasat atau didakwa sekiranya mereka memberi maklumat dan terbabit dalam perlakuan rasuah," katanya.


Azam menegaskan, tindakan SPRM adalah berlandaskan undang-undang supaya semua laporan ditangani secara saksama dan profesional, manakala sebarang dakwaan salah laku akan disiasat secara terperinci tanpa memihak kepada mana-mana individu.


Justeru, beliau menggesa pemberi maklumat itu untuk tampil membuat laporan rasmi kepada SPRM bagi memulakan proses perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.


"Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyatakan individu yang memiliki maklumat perlu mendedahkan perlakuan salah dahulu, sebagaimana ditakrifkan undang-undang, sebelum proses perlindungan dapat dimulakan," katanya.


Terdahulu, sebuah portal dalam talian melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN didakwa membincangkan 'rasuah' bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel