Kuala Lumpur: Timbalan Ketua BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dibebaskan oleh mahkamah selepas membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan perkara itu berdasarkan maklumat daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Menurutnya, semasa sebutan kes berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kepada mahkamah bahawa Adam Radlan ditawarkan kompaun di bawah subseksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
"Beliau kemudiannya menjelaskan bayaran kompaun itu pada 18 Ogos lalu. Berikutan itu, pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah di bawah subseksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk menarik balik semua pertuduhan, dan mahkamah kemudian mengeluarkan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan sepenuhnya (DNAA) terhadap tertuduh.
"Dalam hal ini, pendakwa raya menggunakan budi bicaranya untuk menghentikan prosiding terhadap tertuduh," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Tan Kar Hing (PH–Gopeng).
Kar Hing meminta penjelasan berhubung asas keputusan Mahkamah Sesyen serta persetujuan Timbalan Pendakwa Raya yang membawa kepada pembebasan dan pelepasan Adam Radlan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa, selepas beliau membayar kompaun.
Azalina berkata, Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada Pendakwa Raya untuk memulakan, mengendalikan atau menghentikan mana-mana prosiding jenayah.
"Selain itu, peguam bela tertuduh berhujah bahawa anak guamnya wajar diberikan perintah lepas dan bebas sepenuhnya.
"Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh di bawah subseksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah," katanya.
Adam Radlan sebelum ini berdepan 12 pertuduhan, lima bagi kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan tujuh lagi bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah AMLA.
Sumber : Berita Harian Online