KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu bahawa bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, menerima dua cek berjumlah RM404,990.90 ke dalam akaun Maybank miliknya daripada syarikat pelancongan antara 2014 hingga 2015.
Penolong Pengurus Cawangan Maybank Wisma FGV, Hasimah Hassim, 54, berkata cek pertama sebanyak RM208,339.90 diterima daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd pada 19 Februari 2014, manakala cek kedua (RM196,651) juga daripada syarikat sama bertarikh 9 Februari 2015.
Saksi ketiga pendakwaan itu turut mengesahkan telah dirujuk set salinan Borang Pembukaan Akaun Maybank atas nama Azlan, dengan jenis akaun adalah akaun semasa persendirian yang dibuka pada 1985.
"Berdasarkan dokumen ini, saya sahkan akaun ini dibuka pada 25 Oktober 1985 di Cawangan Tuanku Abdul Rahman dan alamat yang didaftarkan adalah Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, Jalan Tun Abdul Razak, 01000, Kangar, Perlis.
"Saya sahkan penandatangan bagi akaun ini adalah Azlan sendiri," katanya ketika membaca pernyataan saksi pada hari kedua perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima hasil daripada aktiviti haram.
Bagaimanapun ketika disoal balas oleh peguam, Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili tertuduh, Hasimah bersetuju dokumen yang diberikan itu bukan dokumen asal.
Beliau berkata demikian setelah Burhanudeen mencadangkan dokumen pembukaan akaun yang diserahkan bukan dokumen asal kerana menurut dokumen terbabit, Azlan menetap di alamat kediaman rasmi Menteri Besar Perlis pada 1985 ketika akaun dibuka sedangkan pada waktu itu, Azlan belum memegang jawatan Menteri Besar Perlis.
Hasimah berkata, sejak pembukaan akaun itu pada 1985, pihak bank tidak mempunyai dokumen pertukaran alamat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat, Zander Lim Wai Keong, Haresh Prakash Somiah dan Mohammad Shaiful Nasir.
Sementara itu ketika menjawab pertanyaan Mohammad Shaiful yang meminta beliau menjelaskan apa dimaksudkannya dengan 'bukan dokumen asal' pula, Hasimah berkata, borang pembukaan akaun yang asal tidak ada.
"Apa yang ada ialah maklumat pembukaan akaun cetakan komputer daripada sistem Maybank," katanya.
Hasimah berkata, dokumen yang dikemukakan bukan dokumen asal pada 1985 tetapi ia adalah borang pembukaan akaun yang sah.
Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan 1 Ogos depan untuk sambung bicara.
Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Azlan juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sumber: Berita HarianĀ