Bahagian 5 peratus daripada nilai tender alat ganti PDRM sebagai dana politik bangunkan BERSATU - Saksi

Tarikh: 23/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, beliau dimaklumkan bahawa bahagian lima peratus daripada nilai tender berkait alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), bertujuan sebagai dana politik bagi membangunkan BERSATU.

Pengarah Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Ismuni Johari, 58, berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad ketika perjumpaan selama kira-kira setengah jam di pejabat Sayed Amir Muzzakkir di Yayasan Tanah Aku, Publika di sini, pada Mei 2020.

Katanya, perjumpaan itu adalah sebagai kunjungan hormat saja di mana selain Sayed Amir Muzzakkir yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ia turut dihadiri Pengarah Urusan NSB, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Beliau berkata, bahagian lima peratus itu adalah daripada nilai projek 'Tender Terbuka Prakelayakan, Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk PDRM'.

"Sayed juga ada menceritakan kepada saya dan Wan Azhar, tujuan 'portion 5%' (bahagian lima peratus) yang diminta olehnya bertujuan untuk dana politik bagi membangunkan BERSATU seperti program bersama rakyat," katanya.

Saksi ke-12 pendakwaan itu berkata demikian melalui pernyataan saksinya dalam perbicaraan terhadap Sayed Amir Muzzakkir yang didakwa dengan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM350,000.

Ismuni berkata, terdahulu pada awal April 2020, beliau dimaklumkan oleh Wan Azhar bahawa Sayed Amir Muzzakkir ingin berjumpa dengan beliau (Wan Azhar) di luar pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi tidak mengetahui tujuannya kerana tidak terbabit dalam perjumpaan itu.

Selepas itu, beliau berkata, Wan Azhar memberitahunya bahawa Sayed Amir Muzzakkir meminta bahagian lima peratus daripada nilai projek tender itu untuk membantu mendapatkan tender berkenaan.

"Saya hanya bersetuju ketika itu kerana saya dan Wan Azhar ingin mendapatkan tender projek terbabit.

"Wan Azhar juga memaklumkan kepada saya bahawa syarikat NSB memerlukan perjanjian berkaitan portion lima peratus'," katanya.

Saksi itu memaklumkan pada mulanya Wan Azhar memberitahu beliau bahawa Sayed Amir Muzzakkir meminta bahagian lima peratus terbabit dibayar secara sekali gus selepas tiga hingga empat bulan dari tarikh Surat Setuju Terima (tender).

"Namun, saya dan Wan Azhar tidak bersetuju membuat bayaran sekali gus kerana NSB tiada wang mencukupi. Oleh itu, saya dan Wan Azhar mencadangkan untuk membayar kepada Sayed secara berjadual.

"Saya percaya kemungkinan besar NSB tidak akan memperoleh tender projek jika saya dan Wan Azhar menolak permintaan pembayaran bahagian lima peratus daripada Sayed.

"Saya juga percaya Sayed yang membantu NSB mendapatkan tender projek kerana Sayed adalah Setiausaha Politik kepada Menteri KDN, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada ketika itu," katanya.

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Yaacob Md Sam yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir pula, Ismuni menafikan cadangan peguam berkenaan bahawa anak guamnya menyatakan perjumpaan pada Mei 2020 itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa beberapa perenggan dalam pernyataan saksinya mengenai 'bahagian lima peratus' adalah tidak benar.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar.

Wang itu didakwa sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan tender 'Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM' bernilai RM381 juta.

Sayed Amir Muzzakkir dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, pada jam 4 petang 4 Disember 2020, dan jam 3.30 petang 16 Disember 2020.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel