Balai Seni Negara laksana persiapan terima lukisan mahal berkait skandal 1MDB

Tarikh: 07/05/2026
img

KUALA LUMPUR: Balai Seni Negara sudah bersedia dan mengatur pelbagai persiapan penting untuk menerima empat karya seni berkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berjaya dibawa pulang, seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) berkata, proses penyerahan empat lukisan yang dijadualkan minggu depan akan dilaksanakan secara teliti dan berfasa bagi memastikan setiap aspek pengendalian dipatuhi dengan sempurna.

Katanya, persiapan rapi turut membabitkan fasiliti penyimpanan dan pemuliharaan, termasuk ruang konservasi khusus yang dilengkapi sistem kawalan suhu dan kelembapan yang stabil.

"Langkah ini penting bagi memastikan karya-karya itu berada dalam keadaan optimum serta mematuhi piawaian konservasi yang ditetapkan.

"Aspek keselamatan juga diberikan keutamaan melalui pelaksanaan kawalan yang ketat bagi menjamin setiap karya sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terpelihara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam sidang akhbar di Putrajaya berkata, lukisan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB itu akan diserahkan kepada Balai Seni Negara selepas ia ditempatkan sementara di ibu pejabat SPRM dalam keadaan terkawal sebelum dipindahkan ke Balai Seni Negara.

Empat lukisan itu ialah Joan Miró bertajuk Composition (1953); karya Maurice Utrillo bertajuk Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934); karya Balthus bertajuk Étude pour femme couchée (1948) dan karya Pablo Picasso bertajuk L'Ecuyère et les clowns (1961).

Disember lalu, BH melaporkan 12 lukisan berkualiti tinggi dan mahakarya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB bernilai sekitar AS$30 juta (kira-kira RM140 juta) akan dipamerkan di Balai Seni Negara (BSN) untuk tatapan umum sejurus ia tiba di negara ini.

BH sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 12 karya dituntut Kerajaan Malaysia kerana mempunyai kaitan dalam penyelewengan 1MDB, termasuk empat yang kini dalam perjalanan ke Malaysia serta satu karya dipercayai nukilan Pablo Picasso masih berada di Switzerland.

Dalam perkembangan itu, LPSVN berkata, Balai Seni Negara kekal komited untuk memastikan keseluruhan proses pengendalian, penyimpanan dan pemuliharaan dilaksanakan mengikut amalan terbaik serta standard konservasi antarabangsa.

"Usaha ini adalah selaras dengan tanggungjawab institusi dalam memelihara integriti, nilai sejarah dan kepentingan karya-karya berkenaan untuk rujukan generasi akan datang.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel