Beberapa ADUN Sabah dipercayai dipanggil SPRM berhubung video tular

Tarikh: 20/11/2024
img

KOTA KINABALU: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dipercayai dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.


Menurut sumber, ADUN terbabit dipanggil susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal berita.


Mereka dikatakan dipanggil SPRM di Sabah, namun belum ada sebarang pengesahan atau kenyataan daripada agensi penguatkuasa itu atau ADUN yang berkenaan.


Setakat ini, satu klip audio dan tiga klip video memaparkan perbualan ADUN Sabah dengan individu yang dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di portal berkenaan.


Antara ADUN yang dikaitkan dengan klip audio itu adalah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Rubin Blang (Kemabong), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat).


Setakat ini, Dr Yusof, Rubin dan Mohd Arsad sudah memberi penjelasan berhubung klip video itu, termasuk menafikan menerima rasuah berhubung rundingan projek yang dikaitkan dengan perlombongan mineral.


Bagaimanapun, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah enggan memberi komen ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.


Klip memaparkan Menteri Kerja Raya Sabah itu 'ditemu ramah' oleh individu yang dipercayai merakam video berkenaan, didedahkan semalam.


Beliau berkata akan membuat kenyataan media berhubung penyebaran rakaman video terbabit, namun setakat hari ini, belum ada sebarang kenyataan dikongsikan kepada media.


Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya lapan klip video daripada pemberi maklumat yang memaparkan sedutan perbualan dengan ADUN Sabah akan disebarkan.


Selain ADUN biasa dan berstatus Timbalan Ketua Menteri, nama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut didakwa terpalit dengan dakwaan skandal rasuah itu.


Sebelum ini, satu klip video memaparkan pendedahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd, Jontih Enggihon mengenai dakwaan salah guna kuasa membabitkan Hajiji turut tersebar.


Hajiji yang mengulas perkara itu, berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan, termasuk menyiasat dakwaan yang disebarkan.


Beliau sebelum ini turut meminta agar siasatan dijalankan terhadap pemberi dan penerima rasuah, selain menyifatkan dakwaan skandal dan penyebaran video berkaitan sebagai cubaan untuk melemahkan kerajaan negeri pimpinannya.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel