Bekas CEO MARii didakwa lagi, minta suapan RM5 juta

Tarikh: 09/05/2023
img

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari dituduh di Mahkamah Sesyen di sini semalam di atas tuduhan meminta rasuah RM5 juta, pada 2011.

 

Bagaimanapun Mohamad Ma­dani, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta suapan RM5 juta daripada seorang individu sebagai dorongan untuk dirinya membantu mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja berjumlah RM24 juta daripada sebuah syarikat subsidiari MARii.

 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat tersebut yang bertempat di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas di sini pada pukul lebih kurang 11 pagi hingga 3 petang, sekitar Mei 2021.

 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

 

Mahkamah kemudian mem­benarkan Mohamad Madani diikat jamin mengguna pakai wang jaminan RM300,000 daripada kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

 

Tarikh 9 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

 

Pada 14 April lalu, dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima ra­suah berjumlah RM5 juta.

 

Tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang itu daripada seorang individu menerusi akaun bank sebagai upah kerana telah membantu sebuah syarikat mendapat surat peng­anugerahan berjumlah RM12 juta.



Sumber: Utusan

MACC FM
My Anti-Corruption Channel