PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman tujuh hari berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Perintah reman sehingga 27 Ogos ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Terdahulu, individu berusia 60-an yang memakai pakaian lokap jingga dan bergari itu, tiba pada jam 9.38 pagi diiringi pegawai SPRM.
BH semalam melaporkan beliau dipercayai menjadi antara individu terbaru dalam radar siasatan SPRM berhubung laporan RCI TH.
Sumber sebelum ini memaklumkan, individu berkenaan juga adalah ahli korporat terkenal yang pernah memegang jawatan di beberapa syarikat terkemuka di negara ini.
SPRM sebelum ini sudah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.
Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan selain seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan Tabung Haji.
Sebelum ini, laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun, mengemukakan sebanyak 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme, dan tadbir urus institusi terbabit.
Antara syor utama yang terkandung dalam laporan RCI terbabit ialah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.
Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung laporan RCI TH dijalankan 'sehingga ke lubang cacing'.
Sumber ; Berita Harian Online