Bekas COO Tabung Haji didakwa terima kos ubah suai tiga rumah RM302,000

Tarikh: 24/09/2026
img

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga tuduhan menerima barang berharga berbentuk kos ubah suai tiga rumah bernilai lebih RM302,000, sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56, minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

"Tidak mengaku salah, Yang Arif," katanya yang memakai kemeja bersut kelabu, berseluar coklat di dalam kandang tertuduh.

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Ketua Pegawai Operasi TH didakwa menerima benda berharga dengan suatu balasan iaitu kos pengubahsuaian tiga rumah di Jalan Polo Air 13/58B, Seksyen 13 di sini; Jalan Sepah Puteri 5/20B, Kota Damansara dan Jalan USJ Height 2/2A, Subang Jaya.

Ia masing-masing bernilai RM235,866.58; RM50,698.74 dan RM15,933.95 daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail yang tertuduh ketahui ada kena-mengena dalam urusan yang dijalankan beliau.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di tiga rumah berkenaan pada 7 Mac 2017.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, menawarkan jaminan RM70,000 serta syarat tambahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam mewakili tertuduh, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memohon jaminan dikurangkan kepada RM30,000 atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak masing-masing berusia antara 12 hingga 25 tahun yang masih belajar di universiti serta sekolah.

Tertuduh turut hadir ke Pejabat SPRM pada 2 Ogos lalu untuk memberikan keterangan ketika masih mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berikutan masalah jantung.

Peguam turut memohon supaya pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan dan tidak mempunyai sekatan perjalanan ketika siasatan terdahulu.

Ada kuasa budi bicara beri jaminan

Hakim Awang Kerisnada berkata, walaupun kesalahan berkenaan adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, Seksyen 389 Kanun Tatacara Jenayah memberikan budi bicara kepada mahkamah untuk membenarkan jaminan dalam keadaan tertentu.

"Mahkamah perlu mengenakan syarat tambahan bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah memandangkan kes ini adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin," katanya.

Beliau kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warga Malaysia yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur.

"Tertuduh juga perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya setiap tiga bulan sekali bermula Oktober ini, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang daripada mengganggu saksi sehingga kes selesai," katanya.

Sebutan semula kes pada 25 November ini.

Adi Azuan adalah antara lima pegawai kanan TH dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH, susulan dapatan mendedahkan tindakan tatatertib terhadap mereka membabitkan beberapa kes salah laku serius yang kemudian diringankan selepas rayuan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel