Bekas eksekutif kanan didakwa guna dokumen palsu tuntut RM15,288

Tarikh: 28/10/2026
img

SHAH ALAM: Bekas eksekutif kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan wang pendahuluan dan tuntutan daripada sebuah organisasi penyelidikan industri dan teknologi antara 2022 dan 2023.

Mohd Nizam Ibrahim, 50, didakwa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat organisasi penyelidikan industri dan teknologi berkenaan antara 22 April 2022 hingga 2 November 2023.

Mohd Nizam didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen dengan memberikan kepada organisasi berkenaan, iaitu dokumen sebut harga, dokumen tunai dan resit bayaran tunai sebuah syarikat bagi mendapatkan wang pendahuluan diri serta tuntutan berjumlah keseluruhan RM15,288.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM20,000 serta tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Selangor.

Mohd Nizam yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan sudah dua tahun tidak bekerja dan bergantung kepada pendapatan sebagai pereka grafik bebas, selain menanggung belanja perubatan isteri yang mempunyai ketumbuhan di tangan serta ibu yang mempunyai masalah jantung.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan dan 7 Disember depan untuk sebutan semula.

Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel