Bekas juruteknik didakwa terima rasuah RM12,900

Tarikh: 24/07/2024
img

JOHOR BAHRU: Seorang bekas juruteknik di sebuah syarikat di Pengerang, Kota Tinggi, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,900 empat tahun lalu. 

Bagaimanapun, tertuduh, Shaharuddin Sulong, 53, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan antara RM500 sehingga RM2,000 yang keseluruhan berjumlah RM12,900 melalui akaun miliknya bagi memudahkan pemeriksaan kemasukan kenderaan dan peralatan kerja bagi sebuah syarikat jentera berat di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kota Tinggi antara 12 November 2020 hingga 25 Februari 2022. 

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda hingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SRPM, Nur Zahida Mohd Razi, manakala tertuduh diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim. 

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor. 

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Ogos depan.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel