Bekas Ketua Pengarah dituduh salah guna dana LFSA

Tarikh: 29/09/2023
img

LABUAN: Seorang bekas ketua pengarah sebuah agensi kewangan di sini mengaku tidak bersalah menggunakan dana agensi itu untuk melaksanakan kerja pembaikan kediaman peribadi termasuk menyiapkan tandas dan membersihkan stor antara 2017 hingga 2020.

Tertuduh, Datuk Danial Mah Abdullah, 63, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga dan meminta untuk dibicarakan ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Labuan, semalam.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Danial didakwa melakukan perbuatan itu antara 2017 hingga 2020 ketika menjadi Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) membabitkan jumlah dana sebanyak RM26,025.

Tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya bagi menggunakan dana LFSA untuk mengubah suai kediaman dan membiayai perbelanjaan utiliti kediaman peribadinya serta membuat pembelian aset bagi kepentingan dirinya sendiri.

Ia membabitkan pembayaran untuk kerja-kerja membina dan menyiapkan tandas, membersihkan stor, memasang pintu serta kerja-kerja yang lain di kediaman persendirian dengan nilai suapan RM20,225.

Selebihnya ialah untuk melaksanakan kerja-kerja membekal dan memasang pintu keselamatan kediaman persendirian membabitkan nilai suapan RM5,800.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM15,000 dengan RM5,000 deposit dan seorang penjamin.

Hakim menetapkan 23 November depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Iskandar Putra dari Iskandar Putra & Izral Advocates & Solicitors.

Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel