SINGAPURA: Mahkamah Singapura hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, S Iswaran, kerana menghalang keadilan dan menerima hadiah bernilai lebih AS$300,000 secara haram.
Menurut laporan media tempatan, keputusan itu sekali gus menyaksikan kali pertama seorang bekas anggota Kabinet dipenjarakan di republik ini dalam tempoh lebih empat dekad.
Iswaran yang berpengalaman sebagai anggota Kabinet selama 13 tahun dengan turut pernah memegang portfolio perdagangan dan komunikasi, mengaku bersalah atas empat pertuduhan menerima hadiah secara haram serta satu pertuduhan menghalang keadilan.
Mahkamah juga membenarkan Iswaran, 62, kekal dalam ikat jamin selama beberapa hari sebelum menjalani hukuman penjara mulai Isnin depan.
Selepas Iswaran disabitkan kesalahan berkenaan, minggu lalu, pendakwa raya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara enam hingga tujuh bulan, lapor The Straits Times.
Bagaimanapun, pasukan pembelaan bekas menteri yang terkenal dengan sumbangannya membantu membawa Formula One ke Singapura itu memohon hukuman penjara maksimum lapan minggu.
Terdahulu, republik ini digemparkan dengan pelancaran siasatan ke atas Iswaran atas dakwaan menerima hadiah mewah ketika menjadi Menteri Pengangkutan, daripada ahli perniagaan antara lain tiket ke perlawanan Liga Perdana Inggeris, Formula 1 Grand Prix Singapura dan muzikal London serta menaiki jet peribadi.
Awal tahun ini, Iswaran didakwa atas 35 pertuduhan yang kebanyakannya berkaitan rasuah, namun pendakwa raya meneruskan kes dengan hanya lima pertuduhan termasuk sesetengahnya berkait dengan seorang jutawan taikun hartanah.
Iswaran meletak jawatan pada Januari lalu selepas dimaklumkan secara rasmi mengenai pertuduhan terbabit. Dalam surat peletakan jawatan itu, Iswaran menyatakan akan membersihkan namanya di mahkamah.
Bekas menteri itu telah membayar balik kira-kira AS$295,000 sebagai pulangan kewangan kepada kerajaan, manakala hadiah termasuk sebuah basikal Brompton turut dirampas daripadanya, kata Pejabat Peguam Negara.
Kali terakhir ahli politik kanan Singapura disabitkan kes rasuah ialah pada 1975 apabila Menteri Alam Sekitar ketika itu, Wee Toon Boon didapati bersalah menerima suapan bernilai lebih AS$600,000, lapor media tempatan.
Sumber : Berita Harian (Agensi)