Bekas pegawai eksekutif GLC direman 6 hari bantu siasatan salah guna kuasa

Tarikh: 11/09/2024
img

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan tuntutan palsu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap wanita berusia 40-an.

Wanita itu disyaki menyalahgunakan jawatannya untuk menyokong pelantikan syarikat milik suaminya bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

Suspek juga disyaki bersubahat dengan seorang lagi wanita yang juga pemilik syarikat berusia 50-an dengan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung ujian saringan COVID-19 dan pembekalan barangan plastik masing-masing bernilai RM2,000.

Sumber berkata, kedua-dua wanita itu ditahan antara jam 2.30 dan 3.50 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.

Katanya, suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang dan menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

Katanya, wanita itu juga dipercayai bersubahat bersama suspek kedua mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan ujian saringan COVID-19 berjumlah kira-kira RM2,000 pada 2022 sedangkan ujian itu tidak dilaksanakan.

"Pada 2023, suspek utama juga disyaki bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembekalan barangan plastik berjumlah kira-kira RM2,000 sedangkan barangan itu tidak dibekalkan.

"Bagaimanapun, suspek kedua dibebaskan dengan jaminan SPRM, " katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan melakukan beberapa tangkapan susulan bagi membantu siasatan kes berkenaan.



Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel