Melaka: Bekas ketua perancang bahagian pengurusan pengangkutan Pos Malaysia Berhad didenda RM170,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tertuduh, Hazri Mokhtar, 45, dijatuhkan hukuman itu atas 17 pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM133,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh syarikat kurier terbabit kepada sebuah syarikat logistik berpangkalan di Kuching, Sarawak pada empat tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman terbabit selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah hari ini.
Berdasarkan semua pertuduhan, Hazri didakwa secara rasuah menerima untuk dirinya wang melalui pindahan dalam talian membabitkan dua akaun berlainan miliknya daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd.
Pindahan itu didakwa dilakukan melalui lima individu sebagai upah antara RM4,000 hingga RM10,000 untuk tertuduh membantu mempercepatkan bayaran Pos Malaysia kepada syarikat berkenaan bagi kerja-kerja 'outsourcing linehaul' dan 'shuttle services' (khidmat pengangkutan dan ulang-alik di Sabah dan Sarawak).
Semua perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini, antara 8 Julai 2020 hingga 11 Oktober 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh didakwa kali pertama di mahkamah pada 28 September 2022 atas 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM248,000 mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 dan tidak mengaku bersalah, namun pendakwaan hari ini menawarkan 17 pertuduhan pilihan selepas menerima representasi dihantar peguam tertuduh.
Terdahulu peguamnya, Mohammad Amir Aizat Abd Rani merayu agar hukuman ringan dikenakan terhadap tertuduh atas beberapa alasan termasuk pengakuan salah menjimatkan masa dan kos mahkamah serta menyara isteri dan tiga anak yang berusia antara lapan hingga 20 tahun serta bapa dan mentuanya yang uzur.
"Tertuduh mahu membuka lembaran baharu dan mencari rezeki halal melalui perniagaan kecil-kecilan dengan pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
"Dia insaf atas kesalahan ini menyebabkan kehilangan punca pendapatan utama selepas berkhidmat 25 tahun dengan Pos Malaysia. Pohon hukuman denda minimum RM10,000 diberikan bagi setiap pertuduhan," katanya sambil menambah anak guamnya turut menghidap penyakit gout.
Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athiran Zainudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan sama.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan pilihan.
Tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan.
Sementara itu, mahkamah melepaskan tertuduh daripada baki sembilan pertuduhan yang tidak ditawarkan pilihan yang diambil pertimbangan atau 'take into consideration' (TIC) selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Sumber: Harian Metro