Bekas pegawai SPNB bergelar Datuk antara 3 ditahan terima rasuah RM110 juta

Tarikh: 01/08/2024
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu, termasuk seorang bergelar Datuk kerana disyaki menerima rasuah berkait satu projek perumahan berjumlah hampir RM110 juta di Kuantan, Pahang. Sumber berkata, suspek bergelar Datuk itu adalah bekas pegawai di satu anak syarikat milik penuh pemaju Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).


Katanya, ketiga-tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai balasan kerana bersekongkol bagi menandatangani satu perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB. "Perjanjian yang ditandatangani itu dipercayai mengandungi klausa yang berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.


"Semua suspek ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM antara jam 6.30 petang hingga 7 malam pada Isnin lalu, namun seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan," katanya. Menurut sumber itu, semua suspek berusia lingkungan 40 hingga 60-an kini direman selama lima hari bermula semalam sehingga 3 Ogos ini dengan perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap semua suspek berkenaan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," katanya.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel