Bekas pembantu Rafizi, James Chai akan kembali ke Malaysia, janji hadir SPRM 28 April

Tarikh: 17/04/2026
img

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik James Chai dijangka kembali ke Malaysia 28 April bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan projek semikonduktor bernilai RM1.11 bilion yang disokong kerajaan.

Siasatan itu turut membabitkan syarikat berpangkalan di United Kingdom (UK), Arm Holdings.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kepada New Straits Times bahawa kepulangan Chai telah dimaklumkan kepada pihaknya.

"Saya dimaklumkan pegawai penyiasat dia (Chai) sudah membeli sendiri tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

"Dia hanya perlu hadir untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut dijalankan SPRM. Kita menantikan kepulangannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan pihaknya sedang mengesan Chai, yang pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berhubung siasatan terbabit.

Dalam pada itu, firma guaman Kesavan Advocates and Solicitors yang mewakili Chai dalam kenyataan memaklumkan, segala urusan kepulangan telah diatur selepas mendapat kelulusan majikannya di London.

Menurut firma berkenaan, pihaknya berkomunikasi dengan SPRM bagi memudahkan proses siasatan.

"Anak guam kami dijadualkan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan majikan di London dan kami telah memaklumkan kepada SPRM bahawa dia akan hadir pada 28 April ini pada jam 10 pagi.

"Pihak SPRM turut mengesahkan kesesuaian tarikh dan masa tersebut," katanya.

Katanya, Chai memberi kerjasama penuh sepanjang tempoh siasatan dan sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa bagi menjelaskan peranannya.

"Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap sistem keadilan jenayah negara.

"Anak guam kami juga sentiasa boleh dihubungi, tidak mengelak siasatan dan bersedia memberikan kerjasama agar perkara ini dapat diperjelaskan serta tidak menjejaskan kehidupan dan kerjayanya," katanya.

Pada 1 April lalu, media melaporkan SPRM memberi tempoh dua minggu kepada Chai untuk hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes pelaburan ARM yang bernilai RM1.12 bilion.

SPRM dilaporkan berkata, badan itu sanggup menampung kos penerbangan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berkenaan.

Sekiranya dia masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, SPRM akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk INTERPOL atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesannya.

"Dalam siasatan ini, Chai dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan dan pada 4 Mac lalu, SPRM juga sudah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesannya," katanya.

Hingga kini, 17 saksi sudah dirakam percakapan, membabitkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

SPRM juga sudah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan, dan dijangka akan merakam percakapan lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel